Muat Turun:
Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi
intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru dengan dasar ini, setiap murid akan
melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang
tahun.
Dasar ini adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara
untuk membudayakan sukan di kalangan masyarakat dan hendaklah dimulakan di
peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk
Kecemerlangan. Aktiviti sukan di bawah Sukan Untuk Semua adalah sangat penting
dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan ke semua murid. Bagi Sukan
untuk Kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan berpotensi hendaklah
terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi
Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah.
Oleh yang demikian, penyertaan setiap murid dalam
sukan adalah amat penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi 1 Malaysia
yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar ini selaras dengan hasrat
YAB Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1 Malaysia.
Dasar 1M1S berhasrat untuk,
1. Membangunkan modal insan melalui penyertaan yang
menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun.
2. Memupuk budaya bersukan di kalangan murid
sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan
cergas.
Dasar 1M1S berhasrat untuk memenuhi
objektif-objektif berikut:
1. Meningkatkan kecergasan jasmani.
2. Membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai
murni.
3. Memupuk perpaduan di antara kaum.
4. Membentuk budaya sukan di kalangan murid.
5. Memenuhi naluri semulajadi murid dalam aktiviti
fizikal.
6. Memberi keseimbangan antara keperluan akademik
dengan keperluan fizikal.
7. Mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) bermatlamat
untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani,
emosi dan jasmani (JERI).
Konsep Dasar 1M1S diwujudkan untuk menyokong FPK
agar dapat:
1. Memberi akses kepada semua murid mendapatkan
faedah daripada penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau
tidak aktif.
2. Membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan
kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah.
3. Memberi peluang kepada semua murid yang berbakat
dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi.
Pelaksanaan Dasar 1M1S hendaklah mengambil kira
prinsip-prinsip berikut:
1. Setiap murid termasuk murid berkeperluan khas
yang tidak mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib mengambil bahagian dalam
sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Dasar 1M1S adalah diwajibkan untuk Tahun 4
hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan Peralihan, Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6
di sekolah menengah. Walau bagaimanapun murid-murid Pra Sekolah hingga Tahun 3
digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah.
2. Murid boleh menyertai lebih dari satu sukan
mengikut kemampuan dan sukan yang ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan
dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah;
3. Asas kepada 1M1S adalah pelaksanaan mata
pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan yang berkualiti di sekolah. Segala
sumber untuk mata pelajaran pendidikan jasmani hendaklah diguna sama bagi 1M1S.
4. Aspek yang diutamakan adalah penyertaan aktif
oleh semua murid dalam aktiviti su kan.
5. Penyertaan dalam sukan adalah asas kepada
perkembangan Intelek Rohani, Jasmani, dan Emosi murid.
6. Ibu bapa dan agensi luar rakan sukan adalah
digalakkan untuk menyumbang kepada pembangunan sukan sekolah.
7. Setiap sekolah yang sudah pun mempunyai
prasarana, kemudahan dan peralatan sukan hendaklah mengoptimumkan penggunaannya
bagi meningkatkan lagi penyertaan aktif setiap murid.
Bagi memenuhi prinsip-prinsip pelaksanaan 1M1S,
setiap sekolah mempunyai pendekatan dalam melaksanakan program sukan mengikut
acuan dan kemampuan sedia ada.
Dengan itu, pelaksanaan 1M1S adalah berdasarkan
kepada pendekatan berikut:
1. Aktiviti sukan bermaksud melibatkan diri dan
mengambil bahagian secara aktif dalam latihan sukan dan permainan di bawah
pengurusan sekolah. Sukan yang ditawarkan di bawah 1M 1S hendaklah berunsurkan
aktiviti yang melibatkan pergerakan fizikal.
2. Aktiviti sukan di sekolah diadakan sepanjang
tahun berdasarkan kepada aktiviti rumah sukan dan kelab sukan. Kejohanan
tahunan olahraga sekolah yang didahului oleh kejohanan merentas desa dan sukan
tara menjadi aktiviti teras sukan di sekolah.
3. Pihak sekolah hendaklah mengadakan pertandingan
antara tingkatan, kelas, rumah, dorm asrama, kelab sukan sekolah. Penyertaan
murid dalam kejohanan MSSD/MSSN/MSSM serta peringkat antarabangsa adalah
merupakan aktiviti 1M1S.
Penilaian murid adalah berdasarkan kepada sistem
penilaian sedia ada yang berasaskan:
1. Kehadiran;
2. Jawatan Serta Sumbangan;
3. Penglibatan; dan
4. Pencapaian.
Perubahan pada sistem penilaian sedia ada akan
berkuatkuasa untuk murid Tingkatan 4 dan Tingkatan 1 mulai tahun 2012.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan